Di sini saya ingin menyebut beberapa langkah atau panduan penting bagi seseorang pengundi muslim juga mungkin boleh dimanfaatkan oleh non-muslim dalam konteks negara kita ini;
1. Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih seseorang calon adalah dengan pengetahuan tentang latar belakang calon berkenaan.
Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan kita agar bertindak atas ilmu, bukan kejahilan. Firman Allah: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).
Maka, setiap individu yang hendak pergi mengundi wajib mempunyai maklumat tentang calon yang hendak dipilih. Jika pengundi itu sudah tua atau tidak mampu mencari maklumat sendiri, dia hendaklah bertanya kepada pihak yang dia yakini dapat memberikan maklumat yang benar.
2. Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari pelbagai sumber dan memilih yang terbaik. Ini kerana pilihanraya menawarkan lebih dari seorang calon, maka kita perlu membuat pemilihan antara mereka.
Dalam negara kita, kadang-kala ruang mendengar dari kesemua pihak secara adil sukar diperolehi, terutama bagi kawasan pendalaman. Namun, jika kita berusaha, kita mungkin boleh mendapat maklumat dari kesemua pihak tentang apa yang hendak dan mampu calon berkenaan lakukan.
Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab. Antara ciri mereka, seperti yang Allah firmankan: (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).
Maka, usaha mendapatkan maklumat yang adil sehingga dapat membuat pilihan yang terbaik adalah penyebab kepada seseorang insan mendapat petunjuk daripada Allah dan mendapat ganjaran pahala.
3. Seseorang muslim hendaklah memilih calon yang paling layak di sudut al-quwwah (kemampuan) dan al-amanah (amanah/ketelusan). Jika seseorang calon memiliki kemampuan diri sebagai pemimpin dan nilai amanah yang menjadikan dia akan bersikap telus dengan jawatan yang dipilih, maka calon itu layak dipilih. Jika yang bersaing dengannya itu tiada nilai kemampuan dan amanah, wajib untuk undi diberikan kepada calon yang mempunyai ciri-ciri yang layak.
Firman Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).
4. Jika kesemua calon mempunyai ciri-ciri kelayakan, maka kita hendaklah memilih calon yang paling berkesan untuk jawatan tersebut. Ini boleh dilihat kepada pelbagai faktor, seperti program dan manifesto partinya, kekuatan akar umbinya, ciri-ciri keistimewaan yang lain; seperti pengalaman, latar pendidikan, dan sebagainya. Inilah sikap Ulul Albab yang diajar oleh al-Quran, sentiasa memilih yang terbaik.
Maka, setelah mengenali calon, mengenali hasrat sesebuah itu juga penting. Ini kerana, seseorang calon biasanya terikat dengan halatuju partinya.
5. Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak “Mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan”, atau “Memilih bahaya yang paling ringan”.
Kaedah ini dipakai apabila kita berhadapan dengan pilihan yang kesemua buruk, maka kita memilih apa yang mudarat atau bahayanya itu paling minima. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan (ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…” (Surah al-Baqarah: 217).
Ayat ini jelas memberitahu bahawa dosa-dosa itu walaupun besar, namun nilainya tidak sama. Ertinya, apabila bertembung kita memilih atau menentukan yang paling kurang bahaya atau mudaratnya supaya tindakan kita dapat meminimakan bahaya.
6. Menilai rekod, matlamat, manifesto dan juga apa yang tersurat dan tersirat di sebalik parti yang disertai oleh seseorang calon juga adalah penting. Ini kerana, biasanya –walaupun tidak semua- penyertaan individu ke dalam sesebuah pertubuhan mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan nilai diri individu tersebut.
Justeru, jika kita gagal mengetahui tentang latar calon, kita boleh menilai parti yang disertainya. Jika rekod parti itu buruk, maka kita hendaklah berpegang kepada ingatan Nabi s.a.w: “Orang mukmin tidak akan disengat dari satu lubang sebanyak dua kali” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
7. Jika semua calon gagal diketahui latarbelakang mereka, dan tiada pula rekod yang buruk bagi parti mereka, hendaklah dibuat diteliti matlamat dan manifesto yang ditawarkan. Hendaklah dibandingkan mana yang lebih telus dan bermanfaat untuk rakyat dan negara. Inilah konsep Ulul Albab.
8. Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita mendahului peribadi calon. Ini kerana Allah dan rasulNya memerintahkan kita memberikan amanah kepada sesiapa yang layak sehingga Nabi s.a.w sendiri memberikan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah. KECUALI jika kita dapati pengaruh buruk parti itu lebih menguasai jawatan tersebut dibanding kebaikan yang ada pada peribadi calon, maka ketika itu calon yang kelihatan baik itu tidak diundi kerana dilihat tidak berkemampuan. Ini balik kepada ciri-ciri al-Quwwah dan al-Amanah yang disebutkan sebelum ini.
Sumber ; Dr. Maza . Com