Abdul Rashid A Rahman
Abdul Rashid A Rahman
rumah mampu milik
.
Kemasukan pelaburan asing ke negeri ini khususnya di Wilayah Iskandar Malaysia mendorong pembangunan pesat sekaligus menjadikan Johor sebagai tumpuan utama di rantau ini.

Di sebalik pembangunan pesat itu, masyarakat berhadapan cabaran kenaikan harga rumah mendadak sehingga mencecah peningkatan 20 hingga 40 peratus, malah ada di antaranya pasrah dengan status penyewa seumur hidup kerana tidak mampu menanggung kos
pembelian rumah yang meningkat saban tahun.

Menyedari masalah yang dihadapi rakyatnya, inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Dasar Perumahan Rakyat Johor sebagai pendekatan dilihat dapat membendung masalah kenaikan harga rumah di negeri ini.

Mampukah mekanisme yang dibawa Kerajaan Negeri ini mengatasi sepenuhnya kebimbangan rakyat tempatan mengenai kenaikan harga rumah pada masa ini. Ikuti kupasan berkaitan isu ini oleh wartawan Sinar Harian.


Respons Kerajaan Negeri 

Kenaikan harga rumah sehingga 20 hingga 40 peratus dalam tempoh dua tahun diakui Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Abdul Rashid A Rahman.

Menyedari situasi semasa itu, Dasar Perumahan Rakyat Johor di Iskandar Malaysia diaplikasi bermula 1 April tahun lalu.

Dasar ini bukan sekadar memberi perhatian terhadap isu bekalan rumah mampu milik yang mencukupi, tetapi lebih kepada perumahan yang berkualiti dan berpatutan yang memfokuskan golongan berpendapatan sederhana dan rendah dengan keutamaan iaitu penyediaan
perumahan yang selesa, kondusif dan mampu dimiliki.

Katanya, penghasil dasar ini adalah fasa pertama di dalam proses transformasi Dasar Perumahan Negeri Johor  dimana fasa kedua sedang giat dijalankan, meliputi proses pindaan di luar Iskandar Malaysia, penggubalan Enakmen Perumahan Johor dan Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah negeri akan berfungsi sebagai badan perancang dan Penyelaras perumahan Johor.


Harga ditentukan pemaju, permintaan dan penawaran

“Saya sering diajukan persoalan daripada orang ramai adakah kerajaan tidak mengawal harga rumah sehingga menyebabkan harga hartanah melambung tinggi khususnya di bandar utama seperti di Johor Bahru dan Nusajaya.

“Jawapan nya adalah harga perumahan adalah ditentukan oleh pasaran berdasarkan amalan ekonomi bebas, ia bergantung kepada penawaran dan permintaan, jika harga hartanah mahal tetapi masih wujud permintaan kenaikan harga akan terus berlaku,”katanya.

Katanya, sehingga kini kerajaan telah membina  639 unit rumah teres dua tingkat di Taman Setia Indah melalui penswastaa yang dijual pada kadar RM110,000 dengan keluasan 110 kaki persegi.

“Bagaimanapun kita turut meletakkan syarat bagi pembeli yang berminat. Dengan syarat pendapatan isi rumah dibawah RM5,000 sebulan.

“Perumahan ini turut mendapat sambutan daripada pembeli, disebabkan jumlahnya melebihi daripada jumlah rumah yang dibina, kita membuat pemilihan secara undian,” katanya.

Kerajaan Negeri juga melalui projek penswastaan telah membina lebih banyak rumah mampu milik di Mutiara Rini, Skudai, jenis rumah teres dua tingkat, berkeluasan 850 kaki persegi sebanyak 308 unit berharga RM80,000 seunit.

Bagi projek berkenaan, sebanyak 724 unit rumah berkembar dengan keluasan 1500 kaki persegi berharga RM220,000 seunit turut ditawarkan. Bagaimanapun kerajaan negeri turut meletakkan syarat jumlah pendapatan isi rumah untuk membuat permohonan.

Beliau mengakui harga ditawarkan bagi projek perumahan mampu milik ternyata berbeza dengan harga pasaran semasa.

Selain membina projek perumahan mampu milik, kerajaan turut membina rumah bertingkat bagi kategori Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Johor Bahru dan Nusajaya. Ia bagi membolehkan golongan berkemampuan dapat tinggal di kediaman lebih selesa.

Bagi projek PPR  kediaman ditawarkan adalah secara sewaan, namun pihak kerajaan persekutuan turut mencadangkan perumahan berkenaan di jual bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.


Pemaju untung 25 peratus

Harga setiap projek perumahan adalah bergantung kepada beberapa faktor termasuk bahan, harga tanah atau bersamaan ¾ daripada harga jualan setiap unit rumah. Walaupun harga jualan berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran.

Pengurus Besar, Syarikat Pemaju Bandar Seri Alam  yang juga anak syarikat UM Land Berhad, Frankie Tan berkata, purata keuntungan daripada hasil jualan perumahan adalah sebanyak 25 peratus bergantung kepada lokasi.

Selain kos pembinaan, bahan dan buruh, pemaju juga berhadapan dengan kenaikan harga tanah semasa menyebabkan harga rumah di kawasan Bandar seperti Johor Bahru dan Nusajaya.

“Kita akui harga rumah di kawasan berkenaan naik mendadak, bagaimanapun pemaju perlu mengambil kira faktor-faktor kos yang terpaksa ditanggung.

“Sebagai contoh projek di Setia Tropika, harga tanah ketika itu adalah RM8.50 sekaki, namun berdasarkan penilaian semasa harga setiap kaki meningkat lebih sekali ganda sehingga RM16.00 hingga RM17.00 sekaki, faktor berkenaan turut mempengaruhi harga rumah,” katanya.

Katanya, jika dahulu trend peningkatan harga berlaku selama 10 tahun, pada situasi semasa ia sukar diramalkan, kadangkala dalam masa 2 tahun ia mampu meningkat sehingga 50 peratus.

Sebagai contoh, di kawasan Permas Jaya, Johor Bahru. rumah teres dua tingkat dijual pada harga RM250,000 hingga RM280,000 pada tahun 2004 hingga 2005, harga semasa bagi kawasan itu dan jenis rumah sama mencecah RM300,000 keatas.

“Disebabkan seunit rumah baru mampu meningkat sehingga dua kali ganda, menyebabkan pembeli memilih untuk membeli rumah lama kerana perbezaan kenaikan harga hanya kira-kira 10 peratus.

“Untuk rumah teres dua tingkat harga semasa mencecah sehingga RM400,000, dan pembeli dianggarkan membayar ansuran kepada pihak bank sebanyak RM2600 hingga RM2700 sebulan,” katanya.

Franky mengakui terdapat kawalan bagi warga asing untuk membeli kediaman di negara ini, iaitu nilainya melebihi RM500,000 selain had jumlah daripada keseluruhan rumah yang ditawarkan.

Bagi  rumah teres dua tingkat kuota ditetapkan untuk warga asing membeli kediaman adalah tidak melebihi 20 peratus, manakala Rumah berkembar berbandung tidak melebihi 30 peratus dan kurang 50 peratus bagi kediaman jenis banglo.

“Jika dibandingkan di beberapa Bandar utama di negara ini, harga rumah di Johor lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Harga rumah teres dua tingkat di Kuala Lumpur lebih tinggi sehingga 30 peratus berbanding Johor atau bersamaan RM600,000 seunit, manakala di Pulau Pinang mencecah RM700,000 seunit,” katanya.


Harga rumah mahal, khuatir Bumiputera tidak mampu

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, negeri, Ir Mahmood Amir mencadangkan supaya pihak kerajaan mengamalkan dasar kawalan harga bagi mengurangkan kenaikan ketara bagi memiliki kediaman di kawasan Bandar.

Menurutnya, kegiatan spekulator turut mempengaruhi harga rumah, jika ia tiada sekatan ia dikhuatiri menyebabkan golongan Bumiputera tidak mampu membeli kediaman di kawasan strategik seperti Johor Bahru dan Nusajaya.

Pembangunan di Nusajaya yang mampu menarik pelabur asing juga mempengaruhi harga tanah di kawasan itu dan lokasi berdekatan.

Malah peluang warga asing membeli kediaman menyebabkan ia turut melambung tinggi. Jika dibandingkan dengan mata wang sudah tentu pembeli asing masih menganggap kediaman di negara ini lebih murah daripada negara mereka sendiri.

“Melalui perbandingan pada tahun 2010, masih ada rumah teres yang dijual pada harga RM200,000. Namun pada harga semasa ia meningkat sehingga RM400,000 tidak mustahil jika tiada kawalan harga kediaman mampu melambung tinggi sehingga RM1 juta.

“Dari segi kemampuan sudah tentu golongan Bumiputera khususnya yang ‘makan gaji’ dengan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 tidak mampu membelinya,” katanya.

Kawalan kenaikan harga rumah amat penting supaya rakyat tempatan dapat membeli kediaman lebih selesa, jika tidak ramai yang hanya mampu membeli rumah kos rendah yang agak sempit berbanding kediaman teres.

Beliau berkata, mekanisme kawalan harga juga perlu supaya projek hartanah ini tidak didominasi oleh rakyat asing.


Minta kawal harga

Pemaju perumahan disaran mengutamakan keperluan rakyat tempatan berbanding memenuhi permintaan pembeli warga asing bagi memastikan kepentingan rakyat mendapatkan kediaman pada harga berpatutan tidak terpinggir.

Pengerusi Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) Negeri Johor, S Nadarajan berkata, sejak kebelakangan ini lebih banyak kediaman mewah dibina di Johor berbanding rumah mampu milik.

“Pada pandangan saya pemaju hanya mengutamakan keuntungan dengan membina pelbagai bentuk kediaman mewah dan menjualnya pada harga yang terlalu mahal.

“Malah terdapat kediaman berkonsepkan kondominium dijual kepada warga asing pada harga tidak masuk akal hingga mencecah lebih RM1juta.

“Tetapi keperluan rakyat tempatan terpinggir kerana kebanyakan mereka terdiri dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki kediaman yang semakin mahal,” katanya.

Nadarajan berkata, pihak berkuasa perlu mengawal fenomena kenaikan harga kediaman di negeri ini dan memastikan rakyat tidak terus terpinggir di tempat kelahiran sendiri.

“Saya turut menerima beberapa aduan berhubung isu ini dari pengguna yang merungut kerana tidak mampu memiliki kediaman yang semakin mahal sedangkan keluasan rumah yang ditawarkan pula semakin kecil.

“Pihak berkuasa perlu memandang serius mengenai perkara ini bagi memastikan pihak pemaju tidak menaikkan harga kediaman sewenang-wenangnya,” katanya.